Pages

Wednesday, October 16, 2013

Sejarah Ringkas Cameron Highlands

Dalam tahun 1885, seorang Juru Ukur Kerajaan William Cameron, semasa membuat ekspedisi di kawasan Banjaran Titiwangsa telah melaporkan bahawa beliau telah menemui satu dataran tinggi yang bercerun. Gunung-gunung yang melindungi dataran ini kelihatan rendah jika diukur daripada ketinggian dataran yang dijangkakan setinggi antara 1372.5 meter (4500 kaki) hingga 1403 meter (4600 kaki) di atas permukaan laut. Sungguhpun kita tidak memastikan kedudukan tanah dataran tinggi yang dimaksudkan itu, namun kita harus mengakui bahawa beliaulah orang yang pertama menyerlahkan bahagian Pahang ini dalam sejarah. Dengan itu wajarlah dinamakan kawasan tanah tinggi ini sebagai CAMERON HIGHLANDS bagi mengenang jasa dan kerja-kerja penerokaan oleh William Cameron.

Pada tahun 1920, Pengarah Muzium Negeri Pahang telah mengetuai satu ekspedisi dan telah membuat laporan mengenai geologi, pertanian dan kesihatan di kawasan ini. Sebuah peta lakar buat pertama kalinya telah dilukis oleh Jurutera Negeri dan berdasarkan kepada pengamatannya Cameron Highlands terletak di kawasan Tanah Rata dan Brinchang yang ada sekarang ini.

Pada tahun 1926, sebuah Jawatankuasa Pembangunan telah dibentuk bagi membangunkan kawasan ini sebagai sebuah “Hill Station”. Jawatankuasa ini telah berfungsi sehingga November 1931. Dalam tempoh ini (1926-1931), jalan raya-jalan raya telah dibina dan pembahagian zon telah dilakukan. Zon-zon tersebut meliputi Rizab Kawasan Pertanian, Kawasan Bandar, Tempat Kediaman, Taman Negara, Perkhidmatan dan Pentadbiran dan Kawasan Rekreasi. Mulai akhir tahun 1931, Cameron Highlands telah ditadbir sebagai sebuah daerah sebagaimana dilakukan di daerah-daerah yang lain di dalam Negeri Pahang. Malahan, mulai 1 Julai 1931, seorang Penolong Pegawai Daerah Inggeris telah ditempatkan di sini di bawah pengawasan Pegawai Daerah Lipis.

Dengan itu bolehlah dikatakan bahawa Daerah Cameron Highlands telah diwujudkan pada 1 Julai 1931

No comments:

Post a Comment